Monday, August 23, 2010

Minggu 6 : Jurnal Refleksi

Assalamualaikum....
dalam minggu keenam, kita belajar tentang makyong dan kompang

Makyong (atau Mak Yong atau Makyung) merupakan sejenis tarian Melayu traditional. Drama tari Mak Yong ini merupakan sebagai suatu bentuk drama-tari Melayu yang menggabungkan unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian yang digayakan, muzik vokal dan instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja. Drama-tari ini dipertontonkan terutamanya di Terengganu , Patani, Kelantan]], Kedah, Perlis serta di Kepulauan Riau - Indonesia.

Drama tari Mak Yong ini merupakan sebagai suatu bentuk drama-tari Melayu yang menggabungkan unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian yang digayakan, muzik vokal dan instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja. Drama-tari ini dipertontonkan terutamanya di Terengganu, Patani, Kelantan, Kedah, serta di Kepulauan Riau - Indonesia.

Mak Yong dipersembahkan sebagai hiburan dan juga sebagai cara perubatan. Mak Yong dipercayai wujud sebelum kedatangan Islam lagi. Ia dipentaskan sebagai pementasan Diraja di bawah naungan Kesultan Kelantan sehingga 1920-an. Dengan itu, tradisi ini dikekalkan dalam bentuk asal tanpa meninggalkan peningkatan yang terdapat di istana seperti pakaian yang berhias cantik.

Persembahan Mak Yong biasanya dibuka dengan lagu "Mengadap Rebab" diikuti dengan tarian, lakonan dan muzik. Setiap satu cerita mampu dipersembahkan merentasi beberapa amalam dalam siri pertunjukkan tiga jam. Dalam persembahan tradisi di kampung, ia dilakukan dipanggung terbuka yang berlatarkan daun kelapa. Penonton akan duduk di tiga sisi panggung, sisi yang ke empat dikhaskan bagi orkestra yang terdiri dari pemain rebab, gendang kepala dua dan tetawak. Kebanyakan peranan dilakukan oleh wanita dan ceritanya berasaskan cerita rakyat tradisi dengan watak raja, dewa dan pelawak. Mak Yong di kaitkan dengan upacara di mana pawang cuba menyembuhkan pesakit yang dirasuk melalui nyanyian, tarian bersawai dan menurun.

Sejarak Makyong

Mak yong diasaskan di Kerajaan Pattani yang kini merupakan sebahagian daripada Thailand. Oleh kerana ia diwarisi secara lisan dikalangan kampung, usia sebenar Mak Yong tidak dapat dipastikan. Bagaimanapun, fakta yang ia bebas daripada pengaruh-pengaruh luar menunjukkan ia sekurang-kurangnya berusia 800 tahun dan hampir pasti lebih awal lagi. Menurut Hikayat Patani Mak Yong dibawa ke Kelantan lebih 200 tahun dahulu. Dari situ ia berkembang ke Kedah dan negeri-negeri lain.

Lagenda biasanya mengaitkan tarian dengan semangat padi yang digelar Mak Hiang tetapi yang lain mempercayai ia dicipta oleh makluk digelar Semar. Para sejarahwan tidak pasti samaada Mak Yong berasal dari tradisi rakyat atau teater istana. Sungguhpun begitu ia ditonton oleh semua lapisan masyarakat untuk menghormati semangat padi, berterima kasih bagi tuaian atau merawat penyakit.

Semasa di Patani, Mak Yong biasanya dipersembahkan di istana sehingga 1920 di mana ia sering dipertontonkan dikalangan orang biasa.


Pada awal abad ke-20, tarian Mak Yong mula berkembang ke merata-rata kampung tanpa naungan istana. Punca utamanya adalah kerana kedatangan British ke Kelantan telah mengurangkan kedudukan ekonomi raja-raja ini. Faktor inilah yang mengakibatkan kemerosotan mutu persembahan dalam generasi kedua, iaitu zaman selepas Bah Air Merah pada tahun 1926 hinggalah tahun-tahun 1950-an. Unsur-unsur komersil pertunjukan Mak Yong telah memperalatkan nilai-nilai estetik klasik yang ada dalam Mak Yong. Persembahan Mak Yong yang diadakan dengan cara pemajakan akan bermula dari pukul 8.30 malam hingga pukul 11.00 malam sahaja. Kemudian, persembahan diberhentikan dan alat-alat muzik biola dan akordion menggantikan rebab dan serunai untuk memainkan lagu-lagu joget. Penonton-penonton akan naik pentas untuk menari joget dengan penari-penari Mak Yong.

Nilai moral penari-penari Mak Yong juga mula merosot. Banyak sekali kisah-kisah sumbang di antara penari-penari Mak Yong dengan penonton-penonton selepas selesai persembahan Mak Yong, dan perceraian di kalangan suami isteri dan anak-anak Mak Yong merupakan satu perkara yang biasa sahaja. Malah ada di kalangan penari Mak Yong yang berasa bangga dengan jumlah bilangan suami yang dapat dikutip oleh mereka. Pandangan masyarakat terhadap penari-penari Mak Yong mula merosot dan mula hilang kepercayaan terhadap moral mereka. Keadaan ini mempercepatkan lagi kejatuhan imej Mak Yong.

Pada akhir-akhir 1960-an, sudah tidak banyak lagi kumpulan Mak Yong yang wujud, dan tidak banyak lagi orang yang berminat mempelajari seni tari ini. Kemasukan pengaruh-pengaruh kebudayaan Barat yang meluas menggelapkan lagi permainan Mak Yong. Kalau ada pun persembahan Mak Yong pada masa perayaan seperti Hari Keputeraan Sultan, persembahan itu hanya dikerumuni oleh orang-orang tua.

Kumpulan generasi ketiga tarian Mak Yong telah dipelopori oleh Kumpulan Seri Temenggung, sebuah kumpulan belia. Guru-guru Mak Yong yang terdiri daripada orang-orang lama dari generasi pertama telah diambil untuk melatih mereka dalam tarian-tarian dan nyanyian-nyanyian Mak Yong yang asli seperti yang terdapat pada masa generasi yang pertama dulu. Dengan latihan itu, unsur-unsur yang asli mula dihidupkan kembali.

Jenis-jenis makyong

Terdapat 7 jenis persembahan Makyong yang pernah wujud. Setiap jenis persembahan Makyong mempunyai sedikit perbezaan yang membezakan di antara satu dengan yang lain. Jenis-jenis Makyong tersebut ialah:-

* Makyong Patani - ditemui di Pattani, Yala dan Narathiwat, tiga buah wilayah di selatan Thailand yang dahulunya merupakan wilayah Kesultanan Melayu Patani.
* Makyong Kelantan - ditemui di negeri Kelantan dan daerah Besut, Terengganu, Malaysia.
* Makyong Kedah - ditemui di negeri Kedah, Malaysia.
* Makyong Laut - ditemui di negeri Perlis (Malaysia) dan wilayah Satun (Thailand).
* Makyong Riau - ditemui di Wilayah Riau, Indonesia.
* Makyong Medan - ditemui di Medan, wilayah Sumatera Utara, Indonesia.
* Makyong Kalimantan - ditemui di Kalimantan, Indonesia.

Latihan Tradisi

Dalam latihan Mak Yong tradisi, setiap pemain akan diajar keseluruhan peranan watak dalam Mak Yong, termasuk Raja, Permaisuri, bangsawan istana dan pelawak termasuk para panglima. Mereka turut diajar pelbagai kisah Mak Yong, termasuk Dewa Muda, Dewa Pecil dan Hijau-hijau Intan Permata.

Selain itu, mereka akan belajar sejumlah besar lagu pengiring Mak Yong, termasuk Pak Yong Muda, Sedayung Mak Yong, Sedara Tonggek, Kisah Barat, Barat Cepat, Lagu Khabar ke Pengasuh dan Mengulit.

Selepas seseorang pelajar telah menguasai kesemua aspek ini mereka akan menamatkan pengajaran dengan melalui upacara sembah guru sebagai tanda tamatnya pembelajaran Mak Yong.


Kompang
Kompang ialah sejenis alat muzik tradisional yang paling popular bagi masyarakat Melayu. Ia tergolong dalam kumpulan alat muzik gendang. Kulit kompang biasanya diperbuat daripada kulit kambing.

Pada kebiasaannya, seurat rotan akan diselit dari bahagian belakang antara kulit dan bingkai kayu bertujuan menegangkan permukaan kompang, bertujuan menguatkan bunyi kompang. Kini, gelung plastik turut digunakan.

Alat muzik ini berasal dari dunia Arab dan dipercayai dibawa masuk ke Tanah Melayu sama ada ketika zaman Kesultanan Melaka oleh pedagang India Muslim, atau melalui Jawa pada abad ke-13 oleh pedagang Arab.

Kompang biasanya berukuran enam belas inci ukur lilit dan ditutup dengan kepingan kulit pada sebelah permukaan. Ia mempunyai bukaan cetek dan dimainkan dengan memegang dengan sebelah tangan sementara dipalu dengan sebelah tangan yang lain.
Gambar belakang bahagian kompang.

Cara memalu kompang ialah dengan menepuk kulit kompang dengan bahagian jari-jari atau tapak tangan mengikut rentak. Kompang biasanya dimainkan semasa perarakan, kenduri dan upacara-upacara tradisi lain.

Bunyi yang berlainan dihasilkan dengan membezakan cara bukaan tapak tangan. Bunyi 'bum' di perolehi dengan tepukan di sisi kompang dan tapak tangan dikuncup/rapat. Bunyi 'pak' di perolehi dengan tepukan di tengah kompang dengan jari tangan yang terbuka.

Paluan kompang terbahagi kepada 2 bahagian iaitu paluan tradisi dan paluan moden ataupun kreatif. Paluan tradisi adalah paluan di mana memukul kompang sambil menyayi ataupun bersyair dalam versi Arab ataupun bahsa Melayu klasik. Manakala paluan moden pula di mana paluan tersebut diselitkan dengan gerakan ataupun tarian. Di Sabah, pertandingan kompang sering diadakan untuk memartabatkan kembali kesenian Melayu yang telah hampir pupus ini.

1 comments:

Cik Fiziati on August 28, 2010 at 3:35 PM said...

cikgu...blh kongsi nota psl ni x...???utk asemen budaya masyarakat malaysia....tq

Post a Comment

 

SMP2252 FARIQ Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template